Usai solat Isya` ditunaikan pula solat sunat yang lain. Sujudnya lama... Aku yang curi-curi melihat dari kedudukan baring terus mengiring membelakanginya. Tidak mahu dia sedar yang dia diperhatikan. Resah aku menanti dalam diam di pembaringan. Jarum masa menginjak ke angka 2.30 pagi. "Tak tidur ke dia?" soalku.Dia kini menadah tangan memohon sesuatu dari Yang Esa. Panjang. Cukup lama. Kedengaran sendu-sendu bertaut bersama hatinya yang kutahu sungguh rawan. Tanpa sedar manik-manik kaca mula bergenang di kolam mataku.
"Ya Allah, tabahkan hatinya. Jika ini ujian yang ditakdirkan untuknya kuatkan hatinya menghadapi ujian dari-Mu. Kerna kutahu ujian yang ditakdirkan mampu dihadapi oleh hamba-Mu dan sesungguhnya akan datang yang lebih baik di sebalik apa yang berlaku..." doaku dalam hati.
Hari ini dia melangkah longlai ke sekolah. Pulang dari sekolah aku menerima mesej darinya.
"Shima, Zu kat Hospital Selayang. Zu kena tahan wad." Debaran di dadaku semakin bergolak kencang.