Entah apa yang aku nak coretkan…dari semalam aku merasakan untuk meluahkan sesuatu dari pundak hati yang semakin rasa terbeban. Entah apa puncanya aku sendiri kurang pasti…sejak semalam, kedinginan yang mencengkam mengalungkan sekuntum rindu yang mendalam. Aku sesungguhnya amat merindui. Apakah dia juga berperasaan sama sepertiku kala ini? Bila sendirian, terbayang wajahnya…bila kerinduan, tersiksanya kalbu….bila keresahan aku ingin dibelai…
Aku sering memikirkan ke mana akhirnya hubungan yang kami cipta ini. Bukan mainan lagi, kali ini aku rasakan dialah yang tercipta untukku. Beberapa bulan namun aku rasakan seperti bertahun aku mengenalinya. Semakin lama aku curahkan kasih dan sayang ini, semakin terbeban aku kelemasan dalam belaian huluran kasihnya. Bukan apa, aku bimbang keterlanjuran kasih yang dihulurkan menghantui setiap hembusan nafas yang kuhela…aku risau seandainya kasih itu berlalu di saat aku sangat tidak mengizinkannya. Aku takut…teramat takut seandainya kasih yang disemai itu bakal layu berguguran satu persatu tanpa aku sedar.
Kehilangan sangat menyeksakan, walau yang bisa memahami namun tak semudah melalui. Aku merasakan aku perlu meluahkan biarpun hanya pada sekeping kertas. Inilah duniaku, di saat aku mula dikejar kerinduan, di saat aku mula merasakan bahangnya kasih, di ketika aku mula menyedari aku kebuntuan…hanya langkah ini yang kuambil bagi mengubati luka dan sendu sendiri…
Setiap orang pasti berbeza caranya..ini cara aku sejak azali. Aku lebih selesa mencoretkan isi kalbu pada yang paling memahami. Iaitu hatiku sendiri. Aku yang sengsara, aku menanggungnya, aku juga yang mengubatnya. Kadangkala aku tidak memahami apa yang hati ini mahukan. Aku tak faham…aku juga kurang mengerti apa yang cuba hati ini ingini. Duhai hati..sukar dimengerti…
Terbeban aku dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini. Aku rasakan inilah akibatnya kerana aku semakin jauh dari-Nya…sujudku hanya sekadar pemuas cara, bukan lagi ratapan dan singgahan yang sebenar-benar dan sesungguh-sungguhnya. Terlalu jauh aku melangkah hingga aku lupa pada apa yang harus aku kejar dalam hidup ini. Sehingga aku hampir tergelincir dari landasan, namun aku tetap jua meneruskan langkah yang tersasar. Ya Tuhan…jauh sungguh aku dengan-Mu…
Hanya air mata peneman di kala aku gundah. Aku berpura dalam tawa. Cuba menyelindungkan segenap rasa yang setia menemani di ketika aku gusar. Hipokritkah aku? Tidak…aku hanya mahu mengubati lara yang menyiksa. Semakin beban itu mengejarku walau ke mana aku pergi. Hati ini tidak bisa dibohongi. Sampai bila? Aku sendiri tidak pasti akan kepastian ini.
Kadangkala aku tertanya, ke mana akhirnya destinasiku…kepastian yang kucari masih belum ketemui. Apakah aku tidak bersyukur dengan segala yang aku miliki kini? Tidak..aku berterima kasih atas apa yang kumiliki, namun aku takbur dengan apa yang kudapati. Ampunkan aku Ya Tuhan…seandainya aku segera menyedari dan disedarkan tentang hakikat hidup ini, alangkah aku ingin cuba melangkah mendekati apa yang kuhajati.
Dalam sujudku, aku berdoa…jika benar dia adalah jodohku… Kau satukan hati kami di atas landasan hidayah-Mu. Aku semakin pasrah dan redha jika itu adalah ketentuan-Mu…aku semakin takut akan kehilangan. Kasih yang dihulurkan amat membebankan aku. Keihklasannya memberi kadangkala aku sambut dengan sepenuh ragaku, tanpa aku sedar jangan berlebih-lebihan dalam menyayangi. Namun aku tersangat menyayangi…semakin hari aku menghitung detik untuk bergelar seorang isteri. Tegakah aku untuk menyandang jawatan itu seandainya masanya tiba nanti? Sehingga detik ini aku masih bertanya…layakkah aku? Setelah apa yang aku lalui, aku masih mengharapkan ada secebis sinar harapan untukku menumpang kasih. Seksanya bila hati memiliki namun tidak sepenuhnya dalam genggaman. Walau apapun aku harus pasrah kerana dia juga hanya pinjaman…aku lupa aku juga pinjaman sementara di dunia ini. Namun berikanlah aku keizinan untuk rasa menyayangi…
Begitu dugaan bertimpa saat aku kelemasan dalam kasih yang dihulurkan. Ada mata yang memandang sayu, ada yang memandang dingin beku atas hubungan ini, mungkin ada yang jelek dengan rapatnya aku. Aku cuba memuaskan hati semua pihak hingga aku lupa hatiku dan hatinya perlu kujaga. Maafkan aku andai kau terluka. Sememangnya aku belum matang mengawal emosi di kala aku terbeban dengan kekhilafanku sendiri. Kerana terlalu menyayangi. Itulah jawapan yang paling tepat. Sesungguhnya aku takut kehilangan bakal membuatkan aku terhiris lagi. Banyak hati yang kulukai. Mungkin ini jua dugaan dan ujian atas apa yang aku lalui. Bukan mudah menebus pincangnya sekeping hati yang menangisi..bukan senang memuaskan hati yang membenci. Hingga aku sendiri kurang pasti apa yang ingin kalian buktikan?
Banyak hati yang membenci..tidak menyenangi pandangan yang terbentang di depan mata. Padaku mungkin aku buta. Mungkin ya, aku semakin buta. Hingga aku alpa pada nawaitu ketika kakiku mula berpijak di bumi nyata.  Aku lari dari kenyataan yang kubina sejak awalnya…pincangnya aku…sehinggakan aku merasakan akulah punca segalanya. Tanpaku, mungkin semuanya pulih seperti sebelumnya. Seolah-olah kehadiranku hanya sekadar mengisi kekosongan yang menjelma.
Tidak baik berburuk sangka..aku cuba positifkan apa yang terbenak di pundak fikiran. Mencipta impian dan bahagia sendiri di kala aku tidak pasti bahagiakah aku kini? Biarlah…aku percaya sampai satu masa semuanya akan pulih seperti sediakala. Walaupun tidak seharum sebelumnya, baunya tetap ada. Bila? Entah..aku tiada jawapannya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui…
Rawannya aku…mengapa aku cukup benar terhiris dengan teguran ikhlas yang duhulurkan? Semuanya demi membetulkan silap yang kulakukan. Tapi setiap ceruk nadi yang berdetik seolah-olah cukup terhiris, hingga lumat hati yang dijaganya. Sampai begitu sekali aku terasa, namun bila dipujuk cepat benar aku sejuk. Gilakah aku? Atau hanya sekadar inginkan sesuatu yang memang aku dambakan?
Seringkali aku menyusahkan…seringkali juga aku menggundahkan…di kala itu juga aku membebankan. Bukan aku ingin menyalahkan diri sendiri, tapi sekadar ingin menumpang kasih. Walau kutahu sayangnya hanya untukku. Tamakkah aku? Aku tahu aku tidak berhak mengecapinya…namun aku hanya ingin merasainya seumur hidupku. Dia tega menjaga hatiku….dan aku juga turut melampiaskan sayang yang tak bertepi. Redakah sudah rajukku yang kucipta sendiri? Surutkah sudah amarahku pada sekeping hati? Jawapannya kerana terlalu menyayangi…
                                                                                                                                                       Derita Hati Nukilan Jiwa…
                                                                                                                                                             240810 - 1213am (SC)